Selipar Jepun
Banyak kenangan. Zaman dulu, jurang perbezaan antara T20 dan B40 tu tak lah ketara sangat sampai macam sekarang. Maka rata rata semua orang zaman dulu mesti ada pengalaman pakai selipar jepun ini. Ada yang panggil selipar jamban, sebab dia orang berada kut, dia pakai selipar macam ini ke jamban saja. Tapi bukan sikit punya ramai ( bahasa confuse kan?) antara kita , yang menggunakan selipar sebegini untuk kegunaan harian, nak ke hulu, nak ke hilir, nak ke sana , nak kesini.
Selipar ini memang lasak, kadang kala bila tangkai dia dah putus getah penampan dia, masih boleh adjust ikat dengan dawai. Untuk kami golongan yang tak berada, selipar ini pakai lah sampai berlubang, tu pun belum tentu nak buang. Zaman dulu, kalau lalu kawasan kampung kah, taman perumahan kah, padang ka, bendang kering ka, kalau ternampak budak budak dok main bola, selipar ini selalunya di guna sebagai "tiang" gol.
Selipar ini pun ada beberapa jenis, yang belah kanan tu dia ringan, dan memang flexible gila, kalah Reebok tu. Yang kiri dia jenis rigid sikit, keras, tapi tahan lama.
Saya bukan konformis. Saya tak suka berpakaian kemeja tangan panjang dengan tali leher, dan sebagainya. Itu budaya barat. Memang tak secocok dengan cuaca di Nusantara. Saya masih ingat, 4 tahun kursus kejuruteraan mekanikal, setiap hari saya ke kelas pakai selipar jepun jenis yang belah kiri dengan seluaq jean lusuh ala ala acid wash, beli kat Danok ja. Lantaklah dress code . Selama 4 tahun sapa pun tak pernah tahan saya kerana pakai selipar ini. Naik pejabat Naib Canselor pun pakai selipar jer. Apa nak di malukan, saya lebih sanggup berkaki ayam dari menjadi konformis.
Rumah saya masih ada selipar jenis ini. Setiap kali saya tengok selipar ini saya terkenang zaman silam. Dari mana kita datang. Betapa "mudah"nya hidup kita di zaman dulu, kurangnya wasangka, kurangnya jurang pemisah , samada yang di ungkit oleh politikus atau jurang kewangan. Yang kaya tidaklah terlalu kaya, yang miskin masih ada jalan mencari makan. Cabaran zaman tu, nak jalan pakai selipar jepun yang di "tampung" dengan dawai, tanpa bunyi "srett, srett, srett".
Selipar ini adalah petanda, satu masa dulu, kita bukan saja serupa, tapi hampir sama.